PENGENALAN
Salah satu pembaharuan besar yang telah dibuat di SMK Tamparuli semasa era Pengetua Ke-13 ialah penciptaan dan pewartaan Ikrar Pelajar. Ikrar Pelajar merupakan sumpah yang dizahirkan oleh para pelajar sekolah ini semasa mula-mula memasuki sekolah dan menjadi warga sekolah.
Secara lahiriahnya, Ikrar Pelajar merupakan satu lafaz atau akujanji pelajar terhadap perilaku, personaliti, sahsiah dan azam mereka dalam merealisasikan visi dan misi sekolah sejajar dengan Falsafah Pelajaran Kebangsaan.
ASAL-USUL
Ikrar Pelajar SMK Tamparuli dicipta dalam satu situasi aneh dan agak melucukan. Idea ini sebenarnya bermula dengan satu arahan umpama perintah dari langit. Tiba-tiba diperturunkan di saat yang betul-betul tidak kena.
Semuanya bermula dengan Buku Catatan Rasmi SMKT 2005. Tepatnya pada saat-saat akhir proses penerbitan iaitu ketika hanya tinggal proses menandatangani kebenaran mencetak proof buku. Tarikh 20 disember 2004, saya bertolak dari syarikat percetakan dengan membawa proof akhir buku catatan rasmi 2005 untuk di perlihatkan kepada Haji Taharin selaku pengetua SMK Tamparuli yang brkuasa untuk menandatangani kebenaran mencetak pada proof akhir itu.
Ku tiba di perkarangan rumah Haji Taharin pada kira-kira jam 4 petang dalam keadaan hujan lebat. Terus menelefon beliau dan mendapat tahu yang beliau akan tiba di rumahnya dalam masa sejam. Semasa dalam telefon itu beliau ku beri penerangn ringkas mengenai isi kandungan buku catatan. Tiba-tiba terpacul dari mulut Haji Taharin, “ Ikrar Pelajar SMK Tamparuli” ada kasih masuk ka dalam diari”. Terkedu diri, tergamam seketika, mendengar soalan pengetua. Benak ligat berfikir apa itu Ikrar Pelajar SMKT ? Ayat seterusnya daripada pengetua tambah membuat hati galau, “saya mahu tengok Ikrar Pelajar masuk dalam diari. Pastikan ada ! nanti kasi tengok saya masa saya sampai dalam 30 minit lagi.”
Mendapat arahan seperti itu, umpama dapat perintah langit. Sudahlah hujan lebat dengan petir dan guruh. Duduk pula dalam kereta di perkarangan rumah beliau. Ku tenangkan hati lantas meletakkan kereta di hujung jalan. Menunggu ketibaan Tuan Haji sambil membuka embelek-belek proof buku catatan mencari-cari mana tau tiba-tiba tersurat Ikrar Pelajar di dalam. Belek punya belek lama kelamaan ku menjadi tenang dan mula mencari jalan untuk mendapatkan Ikrar Pelajar SMKT yang tidak wujud itu.
PROSES PENCIPTAAN
Setelah tenang, perkara pertama yang ku buat adalah mengangkat telefon dan menghubungi Pn. Sharinah Mohd Majimin, Pen. Kanan 1 SMKT yang pada masa itu berada di Kundasang, Ranau. Ku tanyakan tentang Ikrar Pelajar dan disahkan memang benda itu tidak wujud. Ku telefon pula En. Julian Umpol, Ketua Bidang Bahasa dan hanya mendapat ucap selamat mencipta. Ku hubungi lagi Pn. Sharinah dan mendesak beliau untuk membuat Ikrar pada masa itu juga sebelum pengetua sampai ke rumahnya.
Mulanya beliau enggan tapi lemas dengan pujuk rayu paksa ku akhirnya beliau menerangkan macam mana bentuk Ikrar Pelajar dan menyarankan agar ku menyenaraikan dulu 5 sasaran pelajar yang berkaitan dengan diri sendiri, guru, sekolah, ibubapa dan masyarakat dalam hal-hal berkaitan sahsiah, kecemerlangan kurikulum, kokurikulum dan tanggungjawab diri.
Mendapat bekal seperti itu, mulalah ku mengarang Ikrar yang kabur. Mujurlah tidak lama kemudian Pn. Sharinah menghubungiku semula dan menyatakan beliau ada membuat sedikit dan yang lebihnya kita bincang untuk siapkan. Jadi berbincanglah kami dalam telefon. Pn. Sharinah bercakap, ku menulis. Bila ideanya tersekat ku tambah. Bila ku buntu beliau sambung. Akhirnya dalam kira-kira 20 minit terbentuklah draft Ikrar Pelajar SMK Tamparuli yang lucunya terus menjadi sah dan diwartakan oleh ku sendiri.
DRAFT ASAL IKRAR PELAJAR SMK TAMPARULI
KAMI PELAJAR-PELAJAR SMK TAMPARULI BERJANJI DAN BERIKRAR UNTUK:
• MENCAPAI KEGEMILANGAN DALAM BIDANG AKADEMIK
• MENCAPAI KEUNGGULAN DALAM BIDANG KOKURIKULUM
• MENJADI PELAJAR YANG MEMPUNYAI SAHSIAH MULIA
• MENJAGA PRASARANA DAN HARTA BENDA SEKOLAH DENGAN BAIK
• MEWUJUDKAN PERSEKITARAN SEKOLAH YANG SELAMAT DAN CERIA
• MENJAGA NAMA BAIK IBU BAPA, SEKOLAH DAN KOMUITI
• MENAIKKAN DAN MEMACU NAMA SEKOLAH HINGGA TERUS MAJU KE ARAH KEJAYAAN BERTERUSAN
PENGESAHAN DAN PEWARTAAN
Draf Ikrar Pelajar SMK Tamparuli yang telah siap lakaranya kemudianya ku tulis cantik-cantik di atas sekeping kertas. Ku tersenyum. Puas dan lega, kini Ikrar Pelajar SMK Tamparuli menjadi satu yang wujud. Namun senyum itu makin lama makin sirna dimamah masa menunggu ketibaan pengetua. Janji 30 minit berlanjutan hampir 2 jam. Bosannya tersadai dalam kereta di hujung jalan rumah beliau. Hanya ditemani proof dan Ikrar Pelajar yang masih panas-panas kerana baru siap. Di luar hujan masih menggila, petir dan guruh juga masih riuh berlaga.
Akhirnya pengetua tiba juga sebaik jam melepasi angka 6 petang. Keluar anak bongsunya membuka pagar agar kereta pengetua boleh masuk ke dalam garaj. “Aikkk ada orang rupanya di dalam rumah”, gerutu hatiku sedikit kesal. Tanpa membuang masa ku pun ikut-ikut memasukkan kereta sampai ke depan pagar rumah.
Pengetua menyambut dan menjemput masuk ke dalam rumah. Sambil menjelaskan kenapa beliau lewat ku mendengar antara tidak kerana tumpuan fikiran pada tujuan menyerahkan proof agar ditandatangani segera.
Sebaik menyerahkan proof kepada pengetua, beliau pun dengan arifnya membelek-belek dari muka satu sampai akhir sambil bertanya-tanya jika ada kemusykilan dan memberikan cadangan-cadangan penambahbaikan. Beliau lalu bertanyakan Ikrar Pelajar. Ku dengan bangga menyerahkan helaian kertas bertulisan tangan itu kepada beliau. Pengetua membaca dan meneliti lantas memberikan pandangan dan mengubah satu dua perkataan agar lebih berbunyi canggih. Selepas itu, beliau menandatangani kebenaran mencetak di ats proof dan juga di atas helaian kertas berisi Ikrar Pelajar tersebut. Termeterainya tandatangan pengetua menandakan pengesahan kepada kewujudan Ikrar Pelajar SMK Tamparuli.
Sebaik semua tu selesai ku pun meminta diri kerana perlu berkejar untuk ke syarikat percetakan pula bagi menghantar proof Buku Cattan Rasmi SMKT 2005 dan helaian kertas Ikrar Pelajar untuk diproses cetak. Sebaik tiba di sana, ku serahkan proof dan helaian Ikrar. Oleh kerana Ikrar pelajar satu isi tambahan di dalam buku catatan rasmi maka ku tetapkan ianya dicetak pada muka surat akhir di dalam buku. Pilihan ini kerana Buku catatan itu akan diberikan kepada staf bukan kepada pelajar. Selain itu, muka akhir juga menunjukkan kebesaran dan kepentingan isi kandungan. Jadi bersesuaian lah letaknya di akhir muka surat buku catatan rasmi SMKT 2005. Proses mencetak Ikrar Pelajar SMKT dalam Buku Catatan Rasmi SMKT 2005 merupakan pewartaan Ikrar Pelajar SMK Tamparuli di sekolah ini.
PENAMBAHBAIKAN IKRAR PELAJAR
I krar pelajar yang telah disahkan oleh pengetua dan diwartakan melalui Buku Catatan Rasmi SMKT 2005 telah mengalami satu proses penambahbaikan sebaik sekolah di buka dan diari sekolah diedarkan. Penambahbaikan ini lebih bersifat pemurnian idea dan kandungan bahasa yang digunakan di dalam wahana Ikrar asal.
Proses penambahbaikan atau pemurnian ini telah dilakukan oleh Pn. Sharinah Mohd Majimin, Pen. Kanan 1, SMKT bersama dengan En Julian Umpol, Ketua Bidang Bahasa SMKT.
Ikrar Pelajar yang telah siap dimurnikan kemudian telah disahkan sekali lagi oleh pengetua sebelum diwartakan dalam Tugu Pelajar dan di belakang buku latihan pelajar terbitan sekolah.
IKRAR PELAJAR SMK TAMPARULI
KAMI PELAJAR SMK TAMPARULI BERIKRAR DAN BERJANJI AKAN:
• MENCAPAI KECEMERLANGAN DALAM BIDANG AKADEMIK
• MENCAPAI KEUNGGULAN DALAM BIDANG KOKURIKULUM
• MENJADI PELAJAR YANG BERSAHSIAH MULIA
• MENJAGA NAMA BAIK IBU BAPA
• MENJAGA PRASARANA DAN HARTA BENDA SEKOLAH
• MENAIKKAN IMEJ SEKOLAH DI PERSADA PENDIDIKAN DEMI KEUTUHAN DIRI DAN KEGEMILANGAN BANGSA MALAYSIA
HAKCIPTA IKRAR PELAJAR SMK TAMPARULI
Berdasarkan cerit asal usul Ikrar Pelajar SMK Tamparuli ini maka moleklah hakcipta ikrar diberikan kepada 3 orang staf SMK Tamparuli yang telah terlibat dalam proses penciptaannya. Mereka ialah Pn. Sharinah Mohd Majimin, En. Julian Umpol dan En. Dohimbang Bongkihoi.


0 comments:
Post a Comment