Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau ringkasnya PPSMI telah diperkenalkan di tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah di sekolah kebangsaan mulai tahun 2003. Dasar PPSMI ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada semua peringkat sekolah menjelang 2009. Matlamat utama pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ialah untuk membolehkan pelajar menguasainya sebagai bahasa ilmu dua bidang pengetahuan berkenaan sejak di peringkat awal.
Namun, langkah ini mengundang pelbagai kecurigaan terutamana tentang keberkesanan penerimaan ilmu sains dan matematik oleh pelajar. Apa lagi bila menyangkut hal mengajar ilmu penting dalam bahasa kedua yang masih berstatus mata pelajaran kritikal. Kritikal kerana aspek pencapaian pelajar yang lemah dan kekurangan sumber pengajar yang mencukupi. Selain itu, risiko perlaksanaan keputusan itu dijangka besar sekali, kerana guru sains dan matematik tidak semestinya guru yang mahir berbahasa Inggeris, dan dikhuatiri timbul keadaan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, iaitu penguasaan bahasa Inggeris pelajar tidak dapat ditingkatkan dan penguasaan ilmu sainsa dan ilmu matematik pelajar pula terjejas oleh sebab masalah bahasa.
Selain itu, ramai mempertikaikan kewajaran dan rasional mengajar bahasa Inggeris menggunakan medium ilmu sains dan matematik kepada pelajar semata-mata untuk mempelajari bahasa Inggeris lebih daripada mempelajari isi pengajaran dan konteks ilmu sains dan matematik itu sendiri kepada pelajar. Kepincangan langkah ini bagi mereka umpama pesakit yang sakit perut tapi diberi pula ubat sakit kepala. Langsung tidak kena pada matlamat dan cara.
Satu lagi aspek yang menjadi isu besar dengan pengenalan dasar PPSMI ialah kesannya ke atas bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan juga bahasa ilmu. Ramai pejuang bahasa yang mengutarakan kebimbangan mereka akan kemerosotan nilai ilmu , nilai ekonomi dan nilai sosial dalam bahasa Malaysia akibat daripada perlaksaaan dasar ini. Datuk Dr Hassan Ahmad bersama Prof Sharir Samad , dan ramai pejuang bahasa lainnya telah tampil memberikan hujah mengapa dan bagaimana kemerosotan ini boleh berlaku dalam bahasa Malaysia sekiranya PPSMI terus dilaksanakan.
Kerangka PPSMI adalah mengganti bahasa pengantar untuk mengajar mata pelajaran sains dan matematik daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris . kesan langsung daripada tindakan ini adalah pelajar-pelajar dalam era PPSMI akan hilang kebolehan mereka menggunakan istilah teknikal dan khusus ilmu sains dan matematik yang selama ini telah dimantapkan dalam bahasa Malaysia. Sebaliknya mereka hanya akan memperoleh istilah teknikal asli ilmu berkenaan dalam bahasa Inggeris sahaja. Senario ini dalam jangka masa panjang akan menyebabkan kepupusan satu bidang dalam bahasa Malaysia iaitu aspek istilah sains dan istilah matematik dalam bahasa Malaysia. Istilah-istilah teknikal sains seperti jisim, jirim, pendidihan, takat didih dan sebagainya akan tidak lagi diajar di dalam kelas. Penggunaan perkataan ini dalam hidup seharian juga amat kurang. Oleh itu besar kemungkinan generasi muda didikan PPSMI tidak akan pernah mendengar dan menggunakan istilah-istilah dalam bahasa Malaysia ini lagi.
Teori pemerolehan bahasa menyatakan bahawa satu punca kepupusan bahasa adalah apabila bahasa itu tidak lagi dituturkan oleh penuturnya. Menyingkap senario ini dalam skala yang lebih kecil melalui perkataan dan istilah maka istilah-istilah yang tidak lagi ditutur atau digunakan baik secara lisan atau tulisan oleh penutur jati bahasa itu akan menyebabkan istilah dan perkataan itu hilang dan pupus. Keadaan inilah dijangka akan berlaku kepada istilah sains dan matematik dalam bahasa Malaysia akibat daripada pengenalan dasar PPSMI di sekolah sejak 1993 lagi.
Betulkah istilah sains dalam bahasa Malaysia pupus selepas 6 tahun PPSMI dilaksanakan ? kajian ini cuba mencari jawapannya.


0 comments:
Post a Comment