Bab 1
PENDAHULUAN
1.1. Latar Belakang Kajian
Dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau ringkasnya PPSMI, telah diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) pada tahun 1993. PPSMI diperkenalkan atas justifikasi pentingnya penguasaan bahasa Ingeris dalam memajukan diri, bangsa dan negara terutama dalam mengharungi era globalisasi masa kini.
Pada tahun itu juga kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan PPSMI peringkat perintis di sekolah rendah, sekolah menengah dan matrikulasi. Semua ini dibuat agar generasi muda Malaysia kelak mahir bertutur, menulis dan berfikir dalam bahasa Inggeris seterusnya dapat mengakses ilmu pengetahuan yang akan menjadikan mereka berdaya saing dengan bangsa lain di dunia. Selepas 6 tahun pelaksanaan, para pelajar tingkatan 1, 2009 merupakan produk pertama hasil PPSMI sepenuhnya. Mereka adalah generasi pertama tahun 1 yang memulakan PPSMI di sekolah rendah pada tahun 1993 dahulu. Justeru itu, golongan inilah sebenarnya yang menjadi kunci jawapan kepada pelbagai persoalan mengenai impak PPSMI.
Pengenalan PPSMI dirasakan amat perlu pada masa itu memandangkan kerajaan amat kecewa dengan mutu penguasaaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat walaupun mereka berpelajaran tinggi. Kekurangan ini menjadi duri dalam daging pada proses peningkatan profesionalisme dan kerjaya rakyat terutama bila bersaing di peringkat global. Justeru ada yang berpendapat, mutu bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan para pelajar perlu ditangani sejak di peringkat paling asas pendidikan. Adalah menghairankan selepas 12 tahun menerima pendidikan, para pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap kemahiran secukupnya dalam bahasa Inggeris rupa-rupanya masih mengalami masalah bahasa Inggeris apabila memasuki universiti dan juga selepas keluar universiti (Sham Sani,1995). Untuk membendung masalah ini, langkah awal telah diambil oleh peneraju negara dengan pelaksanaan dasar pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris.
Namun pengajaran dan pembelajaran sains adalah suatu proses yang kompleks yang melibatkan pembinaan makna dalam usaha mereka untuk memahami perkara yang diajar. Masalah dan kesukaran timbul bukan sahaja daripada simbol yang digunakan bagi mewakili konsep, tetapi juga daripada bahasa yang perlu dikuasai, terutama perkataan teknikal dan bukan teknikal. Dalam aspek inilah PPSMI dilihat sebagai sesuatu yang pincang dan seterusnya akan menyebabkan martabat bahasa Malaysia sebagai ilmu saintifik pupus satu masa kelak.
Masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar secara keseluruhannya menjadi satu isu dan cabaran maha besar yang perlu ditangani dengan bijaksana. Kepincangan ini boleh diatasi dengan berkesan melalui pelbagai pendekatan yang telah dijalankan oleh KPM seperti mengintergrasikan pengajaran sains dan matematik dengan ICT sepenuhnya, memberikan latihan bahasa Inggeris berterusan kepada guru, memberikan elaun khas kepada guru dan membekalkan pelbagai bahan bantu mengajar kepada para pelajar.
Cuma masalah yang timbul secara langsung kepada bahasa Malaysia itu sendiri yang tidak mungkin dapat ditangkis secara fiskal begitu. Ini kerana bahasa adalah alat sosial yang juga menjadi medium penyampaian dan pelestrarian ilmu pengetahuan. Apatah lagi bahasa Malaysia merupakan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di negara ini. Segala usaha memantapkan nilai ekonomi, nilai sosial, nilai ilmu dan pemartabatan bahasa Malaysia akan berkurang akibat daripada pengenalan dan pengamalan PPSMI.
Kesan paling ketara adalah kepupusan istilah-istilah sains dan matematik dalam bahasa Malaysia yang selama ini telah dimantap dan diguna pakai sejak 30 tahun yang lalu. Istilah-istilah sains dan matematik dalam bahasa Malaysia ini tidak lagi menjadi relevan dalam era PPSMI. Justeru, para guru tidak akan menggunakan istilah ini dalam pengajaran mereka di dalam kelas. Akibatnya, para pelajar akan hilang satu elemen penting dalam pemerolehan dan pengajaran bahasa Malaysia, iaitu kumpulan istilah sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.
Mereka sebaliknya hanya tahu dan menggunakan istilah sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Senario ini pada akhirnya membawa kepada kepupusan istilah sains dan matematik dalam bahasa Malaysia itu sendiri. Inilah sebenarnya akibat langsung daripada pelaksanaan PPSMI.
1.2. Permasalahan Kajian
Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris atau ringkasnya PPSMI telah diperkenalkan di tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah di sekolah kebangsaan mulai tahun 2003. Dasar PPSMI ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada semua peringkat sekolah menjelang 2009. Matlamat utama pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris adalah untuk membolehkan pelajar menguasainya sebagai bahasa ilmu dalam dua bidang pengetahuan berkenaan sejak di peringkat awal.
Namun, langkah ini mengundang pelbagai kecurigaan terutamana tentang keberkesanan penerimaan ilmu sains dan matematik oleh pelajar. Apa lagi bila menyangkut hal mengajar ilmu penting dalam bahasa kedua yang masih berstatus mata pelajaran kritikal. Kritikal kerana aspek pencapaian pelajar yang lemah dan kekurangan sumber pengajar yang mencukupi. Selain itu, risiko pelaksanaan keputusan itu dijangka besar sekali, kerana guru sains dan matematik tidak semestinya guru yang mahir berbahasa Inggeris, dan dikhuatiri timbul keadaan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, iaitu penguasaan bahasa Inggeris pelajar tidak dapat ditingkatkan dan penguasaan ilmu sains dan ilmu matematik pelajar pula terjejas oleh sebab masalah bahasa.
Selain itu, ramai mempertikaikan kewajaran dan rasional mengajar bahasa Inggeris menggunakan medium ilmu sains dan matematik kepada pelajar semata-mata untuk mempelajari bahasa Inggeris lebih daripada mempelajari isi pengajaran dan konteks ilmu sains dan matematik itu sendiri kepada pelajar. Kepincangan langkah ini bagi mereka umpama pesakit yang sakit perut tapi diberi pula ubat sakit kepala. Langsung tidak kena pada matlamat dan cara.
Satu lagi aspek yang menjadi isu besar dengan pengenalan dasar PPSMI adalah kesannya ke atas bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan juga bahasa ilmu. Ramai pejuang bahasa yang mengutarakan kebimbangan mereka akan kemerosotan nilai ilmu , nilai ekonomi dan nilai sosial dalam bahasa Malaysia akibat daripada pelaksaaan dasar ini. Datuk Dr Hassan Ahmad bersama Prof Sharir Samad , dan ramai pejuang bahasa lainnya telah tampil memberikan hujah mengapa dan bagaimana kemerosotan ini boleh berlaku dalam bahasa Malaysia sekiranya PPSMI terus dilaksanakan.
Kerangka PPSMI adalah mengganti bahasa pengantar untuk mengajar mata pelajaran sains dan matematik daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris . Kesan langsung daripada tindakan ini adalah pelajar-pelajar dalam era PPSMI akan hilang kebolehan mereka menggunakan istilah teknikal dan khusus ilmu sains dan matematik yang selama ini telah dimantapkan dalam bahasa Malaysia. Sebaliknya mereka hanya akan memperoleh istilah teknikal asli ilmu berkenaan dalam bahasa Inggeris sahaja. Senario ini dalam jangka masa panjang akan menyebabkan kepupusan satu bidang dalam bahasa Malaysia, iaitu aspek istilah sains dan istilah matematik dalam bahasa Malaysia. Istilah-istilah teknikal sains seperti jisim, jirim, pendidihan, takat didih dan sebagainya akan tidak lagi diajar di dalam kelas. Penggunaan perkataan ini dalam hidup seharian juga amat kurang jadi besar kemungkinan generasi muda didikan PPSMI tidak akan pernah mendengar dan menggunakan istilah-istilah dalam bahasa Malaysia ini lagi.
Teori pemerolehan bahasa menyatakan bahawa satu punca kepupusan bahasa adalah apabila bahasa itu tidak lagi dituturkan oleh penuturnya. Menyingkap senario ini dalam skala yang lebih kecil melalui perkataan dan istilah maka istilah-istilah yang tidak lagi ditutur atau digunakan baik secara lisan atau tulisan oleh penutur jati bahasa itu akan menyebabkan istilah dan perkataan itu hilang dan pupus. Keadaan inilah dijangka akan berlaku kepada istilah sains dan matematik dalam bahasa Malaysia akibat daripada pengenalan dasar PPSMI di sekolah sejak 1993 lagi.
Betulkah istilah sains dalam bahasa Malaysia pupus selepas 6 tahun PPSMI dilaksanakan ? Kajian ini cuba mencari jawapannya.
1.3 Hipotesis
Hipotesis kajian ini adalah seperti yang berikut:
H01: Pelajar menguasai istilah sains dalam BM yang diajar dalam BI di sekolah rendah.
Ho2: pelajar menguasai kemahiran menamakan radas sains tingkatan 1 dalam BM
Ho3: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap penguasaan istilah sains dalam BM secara serapan dengan kepupusan istilah sains dalam BM.
Ho4: Terdapat hubungan yang signifikan antara tahap penguasaan istilah sains dalam BM secara pinjam terjemah dengan kepupusan istilah sains dalam BM.
Ho5: terdapat hubungan yang signifikan antara persepsi pelajar terhadap kemampuan BM sebagai bahasa sains dan matematik dengan kepupusan istilah sains dalam BM.
1.4 Objektif Kajian
Antara objektif kajian ini ialah:
1.4.1 Untuk meentukan gred penguasaan istilah sains dalam BM yang diajar kepada pelajar kohort pertama PPSMI di sekolah rendah.
1.4.2 Untuk menentukan tahap kepupusan istilah sains dalam BM mengikut hierarki kepupusan bahasa oleh Stephen Wurm dan David Crystal
1.4.3 Untuk menentukan perbezaan kepupusan istilah sains dalam BM secara serapan dengan istilah sains dalam BM secara pinjam terjemah akibat daripada pelaksanaan PPSMI.
1.4.4 Untuk mengenal pasti persepsi pelajar tentang kemampuan BM sebagai bahasa ilmu sains dan matematik
1.4.5 Untuk menguji tahap kemahiran pelajar menamakan radas sains tingkatan satu dalam BM
1.5. Batasan Kajian
Kajian ini adalah khusus untuk mengkaji kesan pelaksanaan PPSMI ke atas kebolehan pelajar menggunakan istilah sains dalam bahasa Malaysia.
Justeru, kajian ini mempunyai batasan-batasan seperti yang berikut :
1. Tempat kajian hanya terhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli.
2. Responden kajian terhad kepada 200 orang pelajar tingkatan 1 sahaja
3. Ruang lingkup kajian hanya tertumpu kepada penterjemahan istilah sains sekolah rendah dalam bahasa Inggeris kepada istilah sains dalam bahasa Malaysia
4. Ruang lingkup kajian juga meliputi penterjemahan nama radas sains tingkatan satu dalam bahasa Inggeris kepada nama radas sains dalam bahasa Malaysia.
1.6 Teori Kajian
• Berdasarkan teori hierarki kepupusan bahasa oleh Stephen Wurm dan David Crystal
o Stephen Wurm (1998) menyatakan terdapat 6 tahap kepupusan bahasa boleh berlaku. Tahap bahasa dalam potensi bahaya, Tahap bahasa dalam bahaya, Tahap bahasa dalam bahaya besar, tahap bahasa moribund dan Tahap bahasa pupus.
o David Crystal (2003) pula mengklasifikasikan faktor kepupusan bahasa 3 peringkat. Peringkat Pertama berlaku bilamana penutur asli mendapat tekanan untuk menggunakan bahasa dominan, Peringkat kedua pula bila penutur asli tadi mula menjadi bilingual dan Peringkat Ketiga kepupusan berlaku apabila generasi muda penutur asli mula menerima dan mengasimilasikan diri dengan bahasa dominan tadi hingga tidak lagi menuturkan bahasa asli mereka kerana malu dan sebagainya.
1.7 Pemboleh Ubah Kajian
• Pembolehubah Bebas dalam kajian ini ialah pelaksanaan PPSMI manakala Pembolehubah Bersandar ialah kesan-kesan kepupusan istilah sains dalam BM.
•
Kerangka kajian dapat dirumuskan seperti Rajah 1 di bawah.
Rajah 1: Kerangka Kajian : Faktor pelaksanaan PPSMI dan Hubungannya dalam mempengaruhi tahap kepupusan istilah sains dalam BM
1.8 Kerangka Konseptual
1.9 Kepentingan Kajian
Berdasarkan analisis peperiksaan SPM bagi tahun 2000 yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (2001) didapati kebanyakan calon tidak tahu istilah sains, tidak faham istilah sains yang digunakan, tidak dapat mentakrifkan dan menerangkan sesuatu istilah yang diberi. Akibatnya calon tidak dapat menjawab dengan tepat dan jawapan yang diberi tidak memenuhi skema.
Selain itu, calon turut mengalami masalah dari aspek kurangnya penguasaan glosari sains yang menyebabkan para pelajar sukar menjawab soalan dengan tepat dan ringkas serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh LPM.
Berdasarkan kenyataan tersebut maka kajian ini dirasakan amat berguna untuk menjawab masalah calon yang telah diutarakan oleh LPM itu tadi. Apabila masalah tersebut nyata berpunca dari kelemahan pelajar dalam menguasai istilah asas teknikal maka sudah tentulah ia memberi pengaruh besar kepada pencapaian mereka dalam peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM kelak. Sekiranya betul masalah itu berpunca daripada kelemahan dalam menguasai bahasa pengantar pengajaran maka satu langkah atau tindakan mengatasi boleh dirancang untuk menambah baik kelemahan tersebut.
1.10 Skop Kajian
• Kajian berfokus kepada bidang sosiolinguistik iaitu kepupusan istilah sains dalam BM akibat daripada pelaksanaan PPSMI. Istilah sains yang diajar di sekolah rendah ini dibahagikan kepada istilah secara serapan dan istilah secara pinjam terjemah. Selain itu kemahiran menamakan radas sains tingkatan 1 dalam BM juga diuji untuk meninjau perkembangan semasa penguasaan istilah sains BM dalam kalangan pelajar.
• Selain itu, faktor kepupusan seperti dasar kerajaan dan sikap pelajar terhadap istilah sains dalam BM turut diambil kira. Data ini penting untuk menentukan tahap kepupusan istilah sains dalam BM ini berada pada tahap apa dalam hierarki teori kepupusan bahasa oleh Wurm dan Crystal.
• Kajian dijalankan dalam kalangan pelajar tingkatan 1 tahun 2009 yang merupakan produk pertama PPSMI sepenuhnya. Sekolah yang dipilih ialah SMK Tamparuli, Tamparuli, Sabah.
1.11 Definisi Operasional
1.11.1 Sosiolinguistik
Kamus Dewan mendefiniskan sosiolinguistik sebagai kajian bahasa dalam hubungannya dengan struktur dan sikap masyarakat. Oleh itu, sosiolinguistik melibatkan bahasa dengan latar belakang penutur bahasa yang merangkumi fungsi, interaksi, bentuk perhubungan, dan nilai-nilai yang dipegang oleh penutur sesuatu bahasa tersebut. Dalam kajian ini, faktor sosiolinguistik terbatas kepada dua faktor iaitu dasar kerajaan melalui pelaksanaan PPSMI dan propaganda kepentingan BI; dan sikap serta persepsi pelajar terhadap kemampuan BM sebagai bahasa sains dan matematik. Kedua-dua faktor ini dikaji untuk menunjukkan mempengaruhnya terhadap tahap kepupusan istilah sains dalam BM.
1.11.2 Definisi Dasar kerajaan (PPSMI)
Satu pengisytiharan (hasrat dan ideology kerajaan) dibuat dari semasa ke semasa untuk mendapatkan hasil/mencapai objektif. Dalam hal ini, dasar kerajaan yang dimaksudkan adalah sebarang usaha yang melibatkan campurtangan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dasar PPSMI merujuk kepada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris iaitu nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 (kini 2016) seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah melakukan kajian mendalam.[1](Wikipedia)
1.11.3 Istilah Sains
Istilah merupakan makna khusus bagi sesuatu kosa kata mengikut bidang tertentu. Lazimnya istilah merujuk kepada makna yang bersifat teknikal dalam bidang ilmu tertentu. Istilah sains menurut Halliday (2004) dibentuk berasaskan konsep metafora iaitu makna kepada perkataan adalah melambangkan lebih daripada makna asal semantik perkataan itu dalam bahasa biasa. Istilah sains yang diguna pakai dalam kajian ini adalah istilah sains yang diajar pada peringkat sekolah rendah dan juga nama radas sains yang diajar dalam tingkatan 1.
Boleh dikatakan sebahagian besar istilah sains dalam BM merupakan bahasa asing (terutama BI) yang telah dimantapkan ke dalam BM. Pemantapan istilah ini dibuat berdasarkan 2 kaedah. Kaedah pertama dipanggil serapan dan kaedah kedua pula dinamakan pinjam terjemah. Melaluyi kaedah serapan, istilah asing itu diambil sepenuhnya dengan hanya diubah sedikit ejaan bagi memberikan hukum bunyi yang betul dalam BM. Justeru istilah sains yang terhasil hampir mempunyai persamaan bunyi dan ejaan dengan yang asal. Kaedah pinjam terjemah pula memperlihatkan bagaimana istilah asing itu tadi dialih bahasa ke dalam perkataan dalam BM yang membawa maksud yang sama. Oleh itu bunyi dan ejaannya tidak sama dengan yang asal.
Sosioekonomi ialah suatu definisi yang menerangkan tentang sesuatu pembangunan dan pembentukan suatu disiplin. Ianya berkaitan dengan bidang sains sosial bersama polisi-polisi ekonomi. Dalam hal ini, tahap sosioekonomi ibu bapa akan diambilkira. Hal ini bermakna pengkaji akan melihat apakah tahap sosioekonomi keluarga boleh mempengaruhi tahap kepupusan bahasa ibunda. Secara teori atas angin, pengkaji melihat jika tahap ekonomi keluarga itu lebih baik (bekerja dengan kerajaan) ibu bapa lebih cenderung mengajarkan anak-anak mereka dengan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
1.11.4 Kepupusan bahasa
Kepupusan mengikut takrifan istilah Thesaurus Umum Bahasa Melayu bermaksud kehilangan, kehapusan, kepunahan dan lenyap. Namun dalam konteks kajian ini kepupusan bahasa dapat didefinisikan bukan sebagai bahasa ibunda yang kehilangan penutur aslinya tetapi lebih kepada bahasa ibunda itu tidak lagi dijadikan bahasa dominan oleh bangsanya sendiri.
Stephen Wurm dan David Crystal menyatakan bahawa kepupusan sesuatu bahasa bukan saja bergantung kepada apabila tiada lagi penutur bahasa yang hidup dan menggunakan bahasa itu. Kepupusan bahasa merupakan satu proses yang melibatkan tahap-tahap tertentu. Sekiranya sesuatu bahasa itu termasuk dalam mana-mana tahap kepupusan maka bahasa itu bolehlah dikategorikan sebagai menghadapi kepupusan.
Kajian ini cuba untuk meletakkan tahap kedudukan BM dalam hierarki kepupusan mengikut teori Wurm berdasarkan tahap penguasaan istilah sains dalam BM oleh pelajar produk pertama 7 tahun PPSMI dilaksanakan d sekolah rendah. Selain itu kajian turut meninjau sikap atau persepsi mereka terhadap kemampuan BM menjadi bahasa sains dan matematik kerana faktor ini juga menjadi penentu kepada kedudukan tahap faktor kepupusan bahasa oleh Crystal.
1.11.5 Bahasa Malaysia / ibunda
Bahasa ibunda ialah bahasa yang digunapakai oleh seseorang di rumah seharian. Namun dalam konteks yang luas, selain ertinya sebagai bahasa yang dipelajari daripada ibu sejak kecil, bahasa ibunda juga dapat diberi beberapa banyak pengertian. Yang pertama, bahasa ibunda ialah bahasa yang digunakan di sesebuah kawasan atau negara oleh penduduknya. seperti bahasa Thai di Thailand atau bahasa Tagalog di Filipina. Dalam kajian ini bahasa tersebut adalah bahasa Malaysia yang juga merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara.
Bahasa ibunda juga bermaksud bahasa pertama yang dipelajari orang, tidak kira siapa orang itu. Yang kedua, bahasa ibunda ialah bahasa yang selalu digunakan oleh seseorang. Bahasa ibunda juga dapat diertikan sebagai bahasa yang paling berpengaruh bagi seseorang pada bila-bila masa dalam hayatnya. Dalam kajian ini bahasa ibunda itu adalah bahasa etnik iaitu bahasa cina dan tamil yang digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah jenis kebangsaan untuk mengajarkan sains dan matematik sebelum PPSMI dilaksanaka
BAB 2
SOROTAN KAJIAN
2.1 Kajian berkaitan PPSMI
Meskipun PPSMI telah mendapat banyak perhatian namun kajian dan penyelidikanyang dibuat lebih menjurus kepada aspek pembelajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik, tahap kompetensi guru, persepsi pelajar terhadap medium bahasa Inggeris dan bahan bantu mengajar dalam pengajaran sains dan matematik.
Belum ada kajian terperinci yang khusus membincangkan mengenai kesan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar sains dan matematik terhadap bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama pelajar . berikut merupakanbeberapa sorotan daripada kajian-kajian berkaitan PPSMI yang telah dilaksanakan.
Emblem (1990) meninjau perkaitan antara bahasa pengantar yang digunakan dengan penguasaanmatematik dalam kalangan kanak-kanak di Bangladesh,mengatakan bahawa kanak-kanak dapat belajar matematik dengan lebih baik apabila mereka dibenarkan menggunakan bahasa yang mereka selesa dengannya, atau setidak-tidaknya dwi-bahasa.
Menurut Jumaat (2004), dalam kajiannya yang bertujuan mengkaji pandangan pelajar sekolah menengah luar bandar terhadap pengajaran guru mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Dapatan kajian mendapati penggunaan bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran sains dan matematik masih di paras 60%. Ini dapat dilihat di mana guru tidak mengajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris serta masih menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia secara berselang seli.
Menurut Adibah (2007), dalam kajiannya yang bertujuan untuk melihat kesediaan diri bakal-bakal guru 5 SPM, Universiti Teknologi Malaysia untuk mengajar matematik dalam bahasa Inggeris. Hasil kajian menunjukkan taburan min bagi penguasaan bahasa Inggeris bakal-bakal guru 5 SPM berada pada tahap sederhana. Ini menunjukkan tahap penguasaan bahasa Inggeris masih di tahap sederhana dan belum memuaskan dan memerlukan usaha untuk meningkatkannya.
Kajian Prof.Emeritus Isahak Haron (UPSI)
Kajian dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim yang diketuai oleh Profesor Emeritus Isahak Haron anjuran Yayasan Kajian dan Strategi Melayu. Berikut merupakan beberapa dapatan kajian berkenaan :
1. Lebih 85% pelajar melaporkan guru mengajar Sains dan Matematik dengan campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu . Ini adalah kerana guru-guru ingin membantu murid-murid yang lemah Bahasa Inggeris memahami apa yang diajar.
ii. Hanya 02% guru menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.
iii. Dan 05% menggunakan Bahasa Malaysia sahaja.
2. Berdasarkan sampel Januari 2008:
i. 83% murid pelbagai kaum menyatakan sukar belajar Sains dalam Bahasa Inggeris.
ii. 87.2% di kajian di kalangan pelajar Melayu mengatakan sukar belajar Sains dalam Bahasa Inggeris.
iii. 65%kajian di kalangan pelajar Melayu mengatakan sukar belajar Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Berdasarkan sampel Februari 2007:
i. 70-80 peratus pelajar Melayu sekolah kebangsaan masih menghadapi masalah mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris walaupun telah menggunakan Bahasa Inggeris sejak tahun 2003.
3. Skor prestasi Matematik pelajar-pelajar berkenaan adalah rendah iaitu 7.89 daripada skor maksimum 20.0.
ii. Skor murid Melayu (7.66) adalah lebih rendah dari skor murid Cina (13.0) dan India (8.21)
iii. Peratus murid Melayu yang memberi jawapan tepat adalah lebih rendah dari murid Cina dan India terutama dalam soalan yang memerlukan murid memahami ayat atau arahan dalam Bahasa IngerĂs.
iv. Murid Melayu lemah dalam operasi asas dengan hanya 58.2 peratus yang mampu menjawabnya.
v. Dalam asas darab hanya 53.9 peratus murid Melayu mampu menjawab berbanding murid Cina 80 peratus boleh menjawab dengan betul.
vi. Dalam asas bahagi yang memerlukan membaca ayat dalam Bahasa IngerĂs , hanya 14 peratus dan 35 peratus sahaja murid Melayu yang mampu memberi jawapan yang betul
4. Prestasi am Sains murid semua keturunan adalah rendah dengan skor hanya 4.28 daripada maksima 14.00.
ii. Skor murid Melayu lebih rendah (4.11) dari skor murid Cina (7.22) dan India (4.64).
iii. Kira-kira 83 peratus murid Tahun 5 dari semua keturunan mendapati sukar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dengan peratusan tertinggi di kalangan murid Melayu (84 peratus).
iv. Hampir 83 peratus murid Melayu tidak faham pengajaran guru Sains dalam Bahasa Inggeris.
Kajian Kamal Syukri (2002)
Kamal Syukri dalam kajian bertajuk, Kesan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sainsdanmatematik diInstitusi Pendidikandi Malaysia mendapat dapatan seperti yang berikut :
1. Peratus penggunaan BI sebagai bahasa pengantar meningkat selari dengan tahap pendidikan. Ini bermakna semakin tinggi aras pendidikan semakin banyak subjek berorientasi sains dan teknologi. Misalnya dalam PMR dengan dalam SPM
2. Peratus peningkatan penggunaan bahasa pengantar BI di institusi pendidikan di Malaysia dengan terlaksananya Etems adalah
a. Sekolah Rendah; 60% BM dan 40% lagi BI
b. Sekolah Menengah Rendah (T.3) ; 62% BM dan 38% lagi BI
c. Sekolah Menengah Atas (T.4 Sastera); 56% BM dan 44% lagi BI
d. Sekolah Menengah Atas (T.4 Sains); 36% BM dan 64% lagi BI
e. T.6 dan Matrikulasi; 20% BM dan 80% lagi BI
Kajian Abu Bakar Hashim (2006)
Abu Bakar dalam kajian bertajuk, Persepsiguru terhadap perubahan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, mendapati bahawa:
1. 82.4% responden (guru) memilih untuk lebih selesa mengajar sains dan matematik dalam BM
2. 80.1% guru memilih akan mengajar sains dan matematik dalam BM jika diberi pilihan
3. 71.5% guru tidak selesa mengajar sains dan matematik dalam BI
4. 41.1% guru yakin boleh mengajar sains dan matematik dalam BI
5. 77.5% guru tidak pasti sebutan istilah dalam BI
6. 67.4% guru setuju Etems dilaksana secara mendadak
7. 40% guru setuju Etems akan menjejas BM sebagai bahasa ilmu sains dan matematik.
8. 41% guru setuju Etems akan jejas BM sebagai bahasa kebangsaan.
Kajian Prof.Norhashimah Jalaluddin (2005) pula mendapati pelajar-pelajar luar Bandar ketinggalan jauh berbanding pelajar bandar dari segi pencapaian akademik sains dan matematik.kenyataan ini dibuktikan dengan laporan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ahamad Sipon (2005) yang mendedahkan peratus pencapaian pelajar bagi mata pelajaran sains dan matematik amat tidak membanggakan di mana pelajar sekolah menengah menunjukkan keputusan jauh lebih rendah berbanding pelajar sekolah rendah.
2.2 Kepupusan Bahasa (Teoritikal)
• David Crystal dalam buku Language Death (2003) menghuraikan mengenai kepupusan bahasa, peringkat kepupusan, faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kepupusan, cara menangani kepupusan dan sebagainya lagi. Buku ini menjadi sumber utama kepada kajian kepupusan bahasa.
• Teo Kok Seng (2008), permulaan tamadun manusia terdapat 10,000 bahasa di dunia. Bilangan itu mengecil sehingga kepada 6,000 bahasa pada masa kini.
• Michael Krauss, meramalkan separuh daripada 6,000 akan pupus dalam tempoh satu abad lagi.
• Stephen Wurm menyatakan;Ketika ini, bahasa-bahasa minoriti di dunia telah menunjukkan trend semakin semakin dipinggirkan oleh hegemoni bahasa yang dianggap universal, misalnya bahasa Inggeris, dan bahasa rasmi di masing-masing negara.
Bab 3
METODOLOGI KAJIAN
3.0 Pengenalan
Kajian ini dijalankan untuk menguji tahap penguasaan pelajar tingkatan 1, 2009 terhadap istilah sains dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah untuk diterjemahkan ke dalam istilah sains bahasa Malaysia. Kajian adalah berdasarkan kepada beberapa pembolehubah. Bab ini akan membincangkan mengenai reka bentuk kajian yang akan digunakan, latar belakang populasi, persampelan, instrumen kajian, kaedah mengutip data dan kaedah menganalisis data. Fokus kajian ialah kepada kebolehan guru menterjemah istilah sains bahasa Inggeris ke dalam istilah sains bahasa Malaysia. Juga kebolehan mereka untuk menterjemah nama radas sains tingkatan satu dalam bahasa Inggeris kepada nama radas dalam bahasa Malaysia.
3.1. Reka bentuk Kajian
Kajian ini akan menggunakan kaedah kuantitatif deskriptif dalam penyelidikan, iaitu melakukan ujian untuk mengukur tahap penguasaan penterjemahan istilah sains dan nama radas sains dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia.
3.2. Sampel Kajian
Harisson, 1979 dalam (Samni Suraji, 2003) menyatakan kebanyakan kajian menggunakan 30 atau lebih subjek tetapi menyarankan 20 orang bagi setiap kumpulan ialah jumlah yang paling minimum. Borg dan Gall, 1979 dalam (Samni Suraji, 2003) mencadangkan sekurang-kurangnya 15 subjek bagi setiap kumpulan sampel bagi tujuan eksperimen namun Cohen dan Manion, 1977 berpendapat jumlah sampel sesuatu kajian bergantung kepada matlamat dan keadaan populasi sesuatu kajian.
Memandangkan kajian ini hanya menumpukan kepada pelajar tingkatan 1, 2009 yang merupakan produk pertama PPSMI sekolah rendah maka seramai 200 orang pelajar tingkatan 1 di SMK Tamparuli dipilih menjadi responden.
3.3. Populasi Kajian
Kajian dijalankan di SMK Tamparuli, Tamparuli, Sabah untuk memudahkan guru dari aspek logistik dan lokasi. Seramai 100 orang pelajar tingkatan 1, 2009 di SMK Tamparuli telah mengisi populasi kajian. Jumlah ini adalah 45% daripada keseluruhan populasi tingkatan 1 yang berjumlah 316 orang. Hasil kajian boleh digeneralisasi kepada sekolah-sekolah di daerah Tamparuli.
3.4 Instrumen Kajian
Bagi mendapatkan data, kajian ini menggunakan kaedah pemerhatian survey dan alat utama yang digunakan ialah ujian yang menguji tahap penguasaan istilah sains yang terbahagi kepada bahagian 1 dan bahagian 2. Bahagian 1 mengandungi 60 soalan item yang dibahagikan kepada 3 kategori. Pembinaan item soalan pula adalah mengikut bahagian. Kategori 1 soalan item menjurus kepada penterjemahan istilah sains sekolah rendah dalam bahasa Inggeris ke dalam istilah sains bahasa Malaysia yang dibentuk secara serapan. Kategori 2 pula menumpukan kepada penterjemahan pinjam terjemah istilah sains bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia . Manakala kategori 3 item soalan menjurus kepada penterjemahan nama radas sains tingkatan 1 dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia. Manakala bahagian 2 pula merupakan soalan berbentuk soal selidik.. bahagian ini mengandungi 16 soalan item.
Instrumen kajian yang telah dibina oleh penyelidik mengambil kira keperluan dan kesesuaian penyelidikan yang dijalankan serta situasi setempat. Soalan-soalan yang dibentuk secara berstruktur bagi pengumpulan maklumat mengenai tahap penguasaan istilah bahasa untuk diterjemahkan dengan tepat ke dalam istilah bahasa Malaysia. Item soalan ini telah dikemukakan kepada penyelia untuk disemak. Teguran dan cadangan penyelia diambil kira untuk memperbaiki instrumen tersebut.
3.5. Kaedah Penggumpulan Data
Data dikumpul daripada hasil ujian menterjemah istilah sains sekolah rendah dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia dan ujian menterjemah nama radas sains tingkatan 1 dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia. Data yang didapati daripada jumlah item yang dijawab tepat akan ditukar kepada peratusan dan kemudiannya dianalisis secara statistik inferens. Pengredan markah pelajar akan dibuat berdasarkan jadual 3 dibawah :
MARKAH GRED TAHAP PENGUASAAN ISTILAH
86 - 100 A CEMERLANG
66- 85 B BAIK
56 - 65 C SEDERHANA
46 - 55 D LULLUS
26 - 45 E GAGAL
0 - 25 F TERUK
Proses penganalisisaan data menggunakan medium SPSS. Analisis korelasi Pearson digunakan untuk menentukan sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara pembolehubah bebas dengan pembolehubah bersandar (tahap kepupusan isitlah sains dalam BM). Pekali kolerasi digunakan untuk menguji kekuatan hubungan dan signifikan antara pembolehubah-pembolehubah dengan menggunakan indeks keteguhan. Kekuatan hubungan (korelasi) adalah berdasarkan satu julat numerik iaitu di antara -1.0 sehingga +1.0. Nilai korelasi yang berlainan akan memberi makna yang berbeza dan nilai ini dinyatakan dalam jadual 4
Indeks Penerangan
0.70 atau lebih Korelasi Sangat Kuat
0.50 hingga 0.69 Korelasi Kuat
0.30 hingga 0.49 Korelasi Sederhana Kuat
0.10 hingga 0.29 Korelasi Rendah
0.01 hingga 0.09 Korelasi Yang Boleh Diabaikan
3.7 Kesimpulan
Metodologi kajian dijadikan panduan kepada pengkaji dalam menjalankan penyelidikan. Selain soal selidik dan ujian, penyelidik juga akan membuat pemerhatian untuk mengumpul data yang bersesuaian seperti penglibatan pelajar semasa pengajaran sains berlangsung. Ini dapat mengelak daripada bergantung kepada data ujian dan soal selidik semata-mata.
Bibliografi
Abdullah Hassan. 2009. Mengapa Kami Bantah PPSMI. Kuala Lumpur: Persatuan
Penterjemah Malaysia.
Abu Bakar Hashim. 2006. Persepsi Guru terhadap Perubahan Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.Latihan Ilmiah.
Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Che Wan Jasminah Wan Mohamed Radzi dan Nor Azmi Noor. 2005. Penggunaan
Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik:Pelaksanaan dan Cabaran.
Jurnal Pendidikan 2005. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Crystal,David.2003. Language Death. London:Cambrige University Press
Halliday, M.A.K.2004.The language of science. London:Continuum
Harrison,David K. 2007. When Language Die.London: Oxsford University Press
Hassan Ahmad. 1996. Seminar dwi Tahunan kedua, Jab. Linguistik UKM. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Isahak Haron (Prof).2008.Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains dalam
Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah. Tanjong Malim : Universiti Perguruan
Sultan Idris
Juriah Long et.al. 2005. Kajian Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dalam Konteks Kepelbagaian
Pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamal Syukri Abdullah Sani. 2002. Kesan penggunaan bahasa Inggeris dalam
Pengajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhammad Yahya. 2001. Strategi Pemasyarakatan Istilah Sains. Prosiding
Seminar Cabaran Penulisan Sains dan Teknologi dalam Alaf Baru. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noraini Idris et.al. 2006. Effective Implementation of Teaching Mathematics and
Science in English: A Case Study. Jurnal Pendidikan 2006. Kuala Lumpur.
Universiti Malaya.
P. Thiyagaveni a/l Palaniapan. 2007. Pelaksanaan dasar penggunaan bahasa
Inggeris dalam Pengajaran Sains dan Matematik di Beberapa Buah
Sekolah Menengah di Daerah Ulu,Selangor.Latihan Ilmiah. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.
Rudesteem, E.Kjell dan Neston R Rae. 1992. Surviving your Disertation. Newburry
California:Sage Publication.
Sharir Mohd Zain. 2005. Beberapa Akibat daripada Pengajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris di Malasysia: Satu Penilaian Empiris
dan Teori. Kuala Lumpur: Prosiding Kongress Pendidikan Melayu ke-2


0 comments:
Post a Comment